Home > Hiburan > INTERAKSI: ‘Saya sepatutnya dah lama buat’

INTERAKSI: ‘Saya sepatutnya dah lama buat’

Petikan MyMetro 091111

MENGANGKAT mitos kisah hidup Siti Aminah yang dikatakan pembawa sial apabila 99 lelaki dikahwini mati secara misteri menerusi Sanggul Beracun, nyata memberikan imbuhan cukup besar dan manis buat pelakon berpengalaman Sabri Yunus apabila menang besar di Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011), Jumaat lalu.

Drama pertama arahan Sabri yang sebelum ini lebih dikenali sebagai pelawak dan pelakon teater, menjulang namanya pada majlis yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), apabila menang anugerah utama Drama Terbaik, Pengarah Terbaik, Videografi Terbaik dan Lakon TV Terbaik.
Sabri aktif berlawak sejak di bangku sekolah. Sebelum aktif secara komersial, dia terlebih dulu menyertai teater yang banyak dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kerjaya pengarahan bermula sewaktu di tingkatan enam dengan mengarahkan skrip teater Mayat dipetik daripada majalah Dewan Sastera.

Antara pentas teater yang pernah dibintangi – Wangi Jadi Saksi, Patah Sayap Terbang Jua, Raja Lawak, Tok Selampit, Matinya Seorang Pahlawan, London dan Pentas Opera.

Namanya mula dikenali sewaktu membintangi sitkom, Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan tampil dalam filem antaranya Driving School, Imigran, Yes Tuan, Wanita Bertudung Hitam, Jogho, Sayang Salmah dan Puteri Gunung Ledang.

Pada malam kemenangan, Sabri berkongsi rasa gembiranya dengan mengatakan dia sepatutnya lebih awal menceburi bidang pengarahan.

Sanggul Beracun yang menjadi buah tangan pertama Sabri cukup menarik mengenai mitos yang cukup terkenal di Kota Tinggi, Johor. Mengikut cerita asal, Siti Aminah ditinggalkan ibunya dan dibesarkan bapanya, tetapi dikatakan pembawa sial apabila 99 lelaki dikahwini mati secara misteri hingga membuatkan ramai yang marah dengan karakter utama mitos itu.

Bagaimanapun, di tangan Sabri, ia berubah menjadi cerita menyayat hati. Sabri tidak mahu memaparkan cerita asal mengenai Siti Aminah kerana ia memaparkan keburukan seorang wanita. Ternyata ramai yang simpati kepada wanita yang dikatakan begitu jelita dan mampu menumbangkan mana-mana lelaki melalui paparan Sabri.

Apakah rahsia kejayaan bapa tiga cahaya mata – Saidi, Shamimi dan Shazni hasil perkahwinan dengan Noraya Mohd Yusof melalui Sanggul Beracun ini? Ikuti temu bual wartawan Hiburan, RUDY IMRAN SHAMSUDIN (imran@hmetro.com.my) bersama Sabri mengenai kemenangan besar diraih drama diterbitkan Balang Rimbun Sdn Bhd ini.

Sabri yang dilahirkan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan pada 1961, bakal menghasilkan skrip drama Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman daripada karya yang menang tempat pertama Pertandingan Menulis Novel Yayasan Sabah dan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) pada 1979.

RAP: Bagaimana anda mengolah kisah mitos Siti Aminah?

SABRI: Saya tidak pernah lupa kisah Siti Aminah kerana bagi saya, ia sangat menarik. Bagaimanapun, saya tidak mengambil bulat-bulat cerita mengatakan Siti Aminah membunuh hampir 100 lelaki sebaliknya saya ubah dan buat sendiri agar orang bersimpati. Untuk menghasilkan skrip ini juga tidak lama kerana jalan ceritanya memang sudah ada dalam kepala.


RAP: Kekuatan yang anda rasakan dimiliki Sanggul Beracun sehingga menang Lakon TV Terbaik?

SABRI: Sebagai orang baru dan pertama kali mengarah, sudah tentu perasaan takut itu ada. Disebabkan itu juga saya pastikan skrip dihasilkan ini lengkap daripada sudut kamera dan permainan watak. Bayangkan lengkapnya skrip saya tulis ini, hingga mata pelakon berkelip atau tidak waktu babak dilakonkan turut saya nyatakan. Apabila saya menulis begitu, pelakon yang membintangi drama ini sudah faham dan tahu apa yang perlu dilakukan apabila masuk ke lokasi.

RAP: Apa yang bermain di kepala anda sebaik saja diumumkan menang Pengarah Terbaik Drama?

SABRI: Saya patutnya sudah lama buat benda (pengarahan) ini. Tidak sangka percubaan pertama ini membuahkan hasil yang besar. Sudah tentu bersyukur atas kemenangan ini dan ia memberi makna yang saya mampu melakukannya. Tidak sangka saya memperoleh kejayaan pada usia mencecah 50 tahun menerusi karya pertama dihasilkan.

RAP: Mengapa anda mengambil masa untuk tampil mengarah sedangkan pembabitan anda dalam dunia penerbitan sangat lama dan pengalaman juga banyak?

SABRI: Bukannya sebelum ini saya tidak pernah menulis atau mengarah. Pernah juga, tetapi bukan naskhah besar seperti Sanggul Beracun. Biasanya saya akan bantu menulis skrip dan mengarahkan sitkom untuk satu atau dua episod saja. Lagipun sebelum ini mungkin saya lebih selesa tampil di hadapan kamera berbanding menulis skrip atau mengarah. Saya sendiri tidak sangka diri saya mampu habis menulis Sanggul Beracun. Rupa-rupanya ada sesuatu yang besar dalam skrip ini.

Jujurnya, pada permulaan saya mahu orang lain yang mengarahkan Sanggul Beracun. Bagaimanapun, pengurus produksi meminta saya mengarahkan sendiri Sanggul Beracun kerana katanya hanya saya yang faham apa yang saya tulis. Saya katakan kepadanya saya cuba, tetapi kalau boleh berilah kepada orang yang lebih mahir. Saya juga ada beberapa nama yang saya fikir layak untuk mengarahkan Sanggul Beracun, tetapi mereka bertegas mahu saya mengarahkan Sanggul Beracun.

RAP: Sebelum majlis bermula, ramai menjangkakan drama arahan anda dan Erma Fatima, Airmata Nur Salina akan bersaing hebat. Adakah anda yakin Sanggul Beracun akan menang besar di ASK 2011?

SABRI: Pada peringkat awal, terus terang saya meletakkan harapan kepada Erra Fazira sebagai pelakon utama melakonkan watak Siti. Pada saya, kalau Erra menang Pelakon Wanita Terbaik Drama ia sudah mencukupi. Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Saya langsung tidak terfikir akan menang Pengarah Terbaik.

Apabila menang Lakon TV Terbaik, hati saya berbisik mungkin setakat ini saja, bagaimanapun rupanya ia menjadi permulaan untuk Sanggul Beracun merangkul anugerah lain. Kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk saya menghasilkan karya lebih menarik seperti Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman yang skripnya sedang saya usahakan.

RAP: Anda meletak harapan kepada Erra Fazira, tetapi malam ini dia tewas kepada Umie Aida. Komen anda mengenainya?

SABRI: Saya memang kecewa.

Erra begitu bagus membawakan watak Siti. Saya tidak kata Umie tidak bagus. Seperti yang diketahui umum, Umie juga pelakon berbakat besar, cuma saya tidak menonton Airmata Nur Salina. Pada waktu sama, watak Siti yang saya bayangkan dapat dizahirkan Erra dengan sangat baik. Pilihan saya untuk dia membintangi drama ini adalah tepat.

RAP: Kekuatan Sanggul Beracun pada pandangan anda sehingga ia mampu merangkul anugerah utama?

SABRI: Pada saya, kekuatan drama yang saya arahkan ini sudah tentu terletak kepada pelakonnya. Saya sangat cerewet dalam menentukan pelakon untuk membawakan setiap watak dan perwatakan. Mungkin kerana saya juga seorang pelakon menyebabkan begitu teliti untuk mencari pelakon yang hampir tepat dengan watak yang digambarkan.

Kebanyakan cerita yang saya suka bertitik-tolak daripada watak dan biasanya saya akan cuba membawa keluar watak tertentu dan dikembangkan untuk dijadikan satu cerita seperti apa yang saya buat dalam Sanggul Beracun.

RAP: Ceritakan sedikit projek selepas ini?

SABRI: Saya akan terus menulis skrip dan mengarahkan drama. Menerusi produksi sama, saya kini menghasilkan skrip Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman yang ditulis Dr Anwar Ridhwan. Ia pernah memenangi tempat pertama Pertandingan Menulis Novel Yayasan Sabah dan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) pada 1979.

Categories: Hiburan
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: