Home > Hiburan, Movie > Imuda tidak lagi sunyi

Imuda tidak lagi sunyi

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH

imuda

aku ada dlm ini gambar

TANGGAL 20 Februari lalu, pelakon, pelawak dan pelukis terkenal, Imuda menamatkan zaman duda yang dipegangnya selama tujuh tahun apabila selamat diijabkabulkan dengan Zabarina Hajar Mushadi Ali, 28, di Pulau Pinang.

Empat tahun mengenali hati budi masing-masing, Imuda atau nama sebenarnya Abdul Rahim Muda, 50, dan Zabarina mula berkawan rapat tatkala selebriti itu mengadakan persembahan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Bertambah rasa syukur, pernikahan antara mereka berdua disambut baik dan diterima oleh dua anak Imuda iaitu Raihana, 15, dan Mohd. Redza, 8, hasil perkahwinan pertamanya dahulu.

Kini, selepas sebulan melayari bahtera perkahwinan, Imuda mengakui bahawa hidupnya kembali bersinar selepas tujuh tahun sendirian tanpa sokongan wanita bernama isteri.

“Saya sudah tidak sunyi lagi. Ini adalah jodoh yang Allah kurniakan dan berikan kepada saya. Alhamdulillah, hidup saya sudah tidak seperti dahulu lagi,” begitu ujar Imuda saat ditemui Hits di Panggung Coliseum, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur sempena Program Merakyatkan Filem, baru-baru ini.

Bersempena dengan program itu, Coliseum menayangkan semula sebuah filem lakonan Imuda sekitar 1990 berjudul Mat Som arahan Prof. Dr. Hatta Azad Khan.

Turut sama hadir menyaksikan Mat Som adalah pelakon komedi veteran popular, Zami Ismail dan Ahmad Busu.

Selain Imuda, Zami dan Ahmad Busu, Mat Som turut dilakonkan oleh Tiara Jacquelina (kini Datin Seri) dan Adibah Amin.

Selepas Mat Som, Program Merakyatkan Filem bakal menayangkan filem Pemburu iaitu pada 24 April ini dan seterusnya Sayang Ibu (29 Mei) dan Gila-Gila Remaja (26 Jun) di panggung yang sama.

Mereka yang meminati koleksi filem Melayu bukan hanya disajikan dengan tayangan semula filem-filem berkenaan tetapi turut berpeluang beramah mesra bersama barisan pelakon-pelakonnya sempena program terbabit.

Menyambung perbualan, Imuda berkata, perkahwinannya bersama Zabarina adalah satu nikmat kurniaan Allah yang tidak diduga olehnya.

“Saya bersyukur. Dalam meniti usia 50 tahun, hidup saya kembali terisi. Selama tujuh tahun saya menduda. Tidak sangka pula diberikan rezeki bertemu jodoh,” jelasnya yang bercerai dengan bekas isterinya (kini arwah), Rozalina Rosli pada 2004 selepas mendirikan rumah tangga sekitar 1994.

Imuda dan Zabarina diijabkabulkan di Masjid Negeri, Pulau Pinang oleh Penolong Pendaftar Nikah Daerah Timur Laut, Mansor Taib dambil disaksikan oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

Zabarina merupakan seorang Penolong Pengurus di sebuah bank di ibu negara.

Pelawak yang cukup popular menerusi siri komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu serta 2 + 1, menikahi cinta hatinya itu dengan mas kahwin RM1,001 bersama RM22,222.22 sebagai wang hantaran berserta 9 berbalas 11 dulang hantaran.

Kenangan Mat Som

Pada Program Merakyatkan Filem itu, Imuda yang merupakan salah seorang pelakon filem Mat Som ketika diajak mengimbas kenangan membintangi filem itu mengakui, Mat Som sebuah filem yang menyimpan nostalgia yang bukan sedikit buatnya.

Masakan tidak, filem berkenaan merupakan filem pertama yang menggandingkan dia dan Tiara.

Filem kelapan lakonannya itu juga turut diingat sampai bila-bila apabila pertama kali diminta untuk berlakon tanpa misai.

Penggambaran filem berkenaan juga dilakukan sekitar Bangi, Kajang dan Dengkil.

“Penggambaran membabitkan babak dalam kapal korek itu adalah di Dengkil. Tentu penonton ingat ia dilakukan di tempat lain.

“Banyak kenangan lain. Naik bas mini dan babak hujan adalah menggunakan khidmat semburan air oleh bomba,” katanya sambil ketawa besar mengenangkan pengalaman di lokasi filem itu.

Jelas Imuda, Mat Som juga mengingatkannya kembali kepada Panggung Coliseum kerana kawasan sekeliling panggung tersebut turut menjadi lokasi penggambaran.

“Di hadapan Coliseum inilah saya melakonkan babak menunggu kekasih dalam keadaan yang dibantu dengan hujan buatan.

“Waktu itu lebih kurang pukul 5 petang. Ada dua jentera bomba digunakan untuk menyembur air untuk hujan,” ujarnya.

Categories: Hiburan, Movie
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: