Archive

Archive for November, 2011

Hasil kreativiti bertaraf dunia

November 13, 2011 Leave a comment

Petikan KosmoOn9

MELIHAT kelibat Azwan Abdul Karim sedang membelek patung permainan Transformers di Pameran Barangan Mainan Antarabangsa Malaysia (MITF) di Dewan Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur, mungkin banyak inspirasi dan idea sedang bermain dalam minda pereka dan pengubah suai figura robot itu.

Bermula dengan hobi mengumpul koleksi figura robot Transformers sejak kecil, pemuda berusia 33 tahun tersebut tidak pernah jemu dengan minatnya. Dia terus mengembangkan bakat diri yang meminati seni arca dengan melakukan inovasi terhadap figura robot miliknya.

Pensyarah sebuah institut pengajian tinggi swasta itu berkata, minatnya terhadap pengubahsuaian figura Transformers tercetus lantaran aktiviti itu jarang dilakukan oleh orang lain.

“Saya suka customize atau mengubah suai figura robot yang sedikit kaku atau keras kepada sesuatu yang jarang dilakukan oleh orang kebanyakan. Ia mencabar kemampuan minda dan kesabaran saya. Saya puas apabila berjaya menghasilkan hasil seni yang menjadi hak milik sendiri,” katanya.

Selain itu, tambahnya, aktiviti itu juga boleh mengembangkan pengetahuan diri sebagai pengarca sekali gus menyediakan kemahiran untuk dikembangkan dalam bidang seni arca kontemporari pada masa depan.

Kebolehan diri Azwan mengubah suai figura robot Transformers sememangnya dikagumi ramai orang dan mendapat perhatian peminat-peminat koleksi figura Transformers antarabangsa.

“Untuk melakukan pengubahsuaian figura Transformers, proses yang diperlukan terbahagi kepada banyak jenis dan kerja seperti mengecat, mencanai, melorek dan memotong.

“Oleh itu, beberapa peralatan diperlukan seperti pelbagai jenis berus, penyembur, tangki penyembur dan mesin gerudi yang kecil.

“Selain itu, pelbagai jenis pisau, pembaris, alatan untuk mengarca, mesin pencanai biasa, kanta

Kerumitan proses

Menurutnya, proses pengubahsuaian figura dimulakan dengan memilih watak yang diingini seseorang pengumpul atau peminat terlebih dahulu.

Kemudian, rangka tubuh atau eko-skeleton figura yang dipilih itu dinilai dengan membandingkannya dengan robot-robot yang terdapat di pasaran. Seterusnya, pemilihan model alternatif iaitu model-model kenderaan turut dibuat.

“Bagi tubuh robot, lazimnya beberapa pengubahsuaian perlu dilakukan pada bahagian tertentu sama ada kaki, tangan, kepala atau badan.

“Jika tiada bahagian robot yang sesuai maka teknik lakaran atas kertas perlu dilakukan iaitu membina sendiri bahagian tersebut daripada bahan-bahan yang terpilih seperti plastik dan kadangkala besi-besi kecil,” kata lulusan Sarjana Teknologi dan Seni Halus (Arca) itu.

Setelah mendapat bahagian robot dan kenderaan yang sesuai, barulah proses menggabungkan kedua-dua bahagian robot dan kenderaan dilaksanakan.

Dalam peringkat itu, proses memotong, mencanai, memateri, menyimen dan membina semula akan dijalankan.

“Proses menggabung memerlukan pereka menilai dan mengukur sama ada bahagian itu boleh melakukan transformasi atau tidak.

“Bahagian ini yang paling merumitkan dan ia bertambah rumit jika model untuk kenderaan melebihi satu. Contohnya, robot perubahan berganda atau triple changer seperti figura robot Astrotrain, Blitzwing dan Springer,” terang Azwan.

Proses terakhir yang perlu dibuat adalah mengecat. Berbanding proses awal dan pertengahan yang boleh memakan masa antara sebulan hingga bertahun-tahun lamanya (bergantung kepada kerumitan projek), kerja mengecat pula hanya memerlukan masa sehari hingga seminggu untuk menyiapkannya.

“Proses mengecat, sama ada menggunakan teknik semburan atau berus, menggunakan cat berasaskan akrilik atau enamel,” ujarnya mengenai proses itu yang menuntut ketelitian tinggi.

Tidak puas hati

Menurut Azwan yang juga pengasas kelab komuniti pengubah suai figura permainan terkenal dunia, golongan yang meminati hobi itu selalunya terdiri daripada mereka yang pada mulanya adalah pengumpul mainan.

Daripada mengumpul koleksi figura tersebut, mereka mula bergerak kepada minat mengubah suai mainan-mainan kepunyaan mereka kerana tidak puas hati terhadap bentuk dan rupa yang terhasil dari kilang.

Terdapat juga mereka yang berjinak-jinak dengan hobi itu atas pengaruh rakan-rakan sealiran.

“Pencapaian terbaik saya setakat ini adalah apabila mendapat tempat pertama dalam pertandingan Triple Threat Challenge iaitu pertandingan pengubahsuaian figura Transformers yang dianjurkan di Amerika Syarikat (AS),” ujar Azwan.

Dia juga telah dinobat sebagai Transtopia Masterclass Artist daripada sebuah laman web forum Seibertron.com.

Anugerah pilihan sedunia itu mengiktiraf pengubah suai figura yang mencapai tahap tertinggi dalam mengubah suai figura Transformers.

Azwan juga bersyukur kerana hobinya itu kini memberi pendapatan lumayan kepadanya kerana sebuah figura yang rumit disiapkan boleh mencecah nilai RM10,000.

Seorang lagi penggemar aktiviti mengubah suai barangan mainan, Mohd. Reeza Hariezuan Zaaba, 28, memberitahu, kumpulan pengubah suai barangan mainan atau customizer mempunyai persatuan dan kumpulan komuniti tersendiri yang dipanggil Malaysian Customizer (MC).

“Kumpulan yang bergerak secara aktif dan mempunyai hampir 100 orang ahli ini diwujudkan di Facebook kira-kira setahun lalu dan telah menyertai pameran sulungnya di MITF, Mid Valley pada September lepas.

“Ahlinya terdiri daripada pengubah suai barangan mainan seperti Transformers, Starwars, Gundam, diorama, boneka dan kostum,” ujarnya.

MC mengumpulkan semua pengubah suai barangan mainan dibawah satu bumbung untuk bertukar idea, berkongsi pengalaman dan tip-tip berguna. Kumpulan itu juga sering mengadakan projek mengubah suai barangan mainan bersama-sama.

MC bercadang untuk mengembangkan sayap dengan membuka laman web mereka sendiri dalam masa terdekat. Mereka berharap kewujudan kumpulan mereka dapat didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Selain itu juga, ia diharap dapat menjadi satu platform kepada anak Malaysia yang berminat untuk berkecimpung dalam bidang itu di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Fenomena global

Mohd. Reeza memberitahu, sejarah perkembangan pengubah suai barangan mainan di dunia masih tidak jelas. Ia dipercayai bermula semenjak penciptaan prototaip kenderaan filem-filem seperti Starwars dan E.T.

Namun difahamkan, ia mula rancak sekitar tahun 1980-an dan 1990-an apabila pengeluar francais permainan mula mengadaptasi permainan-permainan itu ke dalam siri animasi bersiri dari tahun ke tahun. Semenjak itu, aktiviti tersebut mula menjadi fenomena global.

“Semenjak kewujudan Internet, peminat-peminat pengubah suai barangan mainan mula mendapat rentak apabila semakin ramai dapat berhubung di antara satu sama lain.

“Kewujudannya semakin rancak dengan adanya laman forum dan web berkaitan seperti forum Gundam, Transtopia (kini TFW2005), Seibertron.com, TNI dan pelbagai forum lain,” terangnya.

Advertisements
Categories: Uncategorized

INTERAKSI: ‘Saya sepatutnya dah lama buat’

November 8, 2011 Leave a comment

Petikan MyMetro 091111

MENGANGKAT mitos kisah hidup Siti Aminah yang dikatakan pembawa sial apabila 99 lelaki dikahwini mati secara misteri menerusi Sanggul Beracun, nyata memberikan imbuhan cukup besar dan manis buat pelakon berpengalaman Sabri Yunus apabila menang besar di Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011), Jumaat lalu.

Drama pertama arahan Sabri yang sebelum ini lebih dikenali sebagai pelawak dan pelakon teater, menjulang namanya pada majlis yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), apabila menang anugerah utama Drama Terbaik, Pengarah Terbaik, Videografi Terbaik dan Lakon TV Terbaik.
Sabri aktif berlawak sejak di bangku sekolah. Sebelum aktif secara komersial, dia terlebih dulu menyertai teater yang banyak dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kerjaya pengarahan bermula sewaktu di tingkatan enam dengan mengarahkan skrip teater Mayat dipetik daripada majalah Dewan Sastera.

Antara pentas teater yang pernah dibintangi – Wangi Jadi Saksi, Patah Sayap Terbang Jua, Raja Lawak, Tok Selampit, Matinya Seorang Pahlawan, London dan Pentas Opera.

Namanya mula dikenali sewaktu membintangi sitkom, Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan tampil dalam filem antaranya Driving School, Imigran, Yes Tuan, Wanita Bertudung Hitam, Jogho, Sayang Salmah dan Puteri Gunung Ledang.

Pada malam kemenangan, Sabri berkongsi rasa gembiranya dengan mengatakan dia sepatutnya lebih awal menceburi bidang pengarahan.

Sanggul Beracun yang menjadi buah tangan pertama Sabri cukup menarik mengenai mitos yang cukup terkenal di Kota Tinggi, Johor. Mengikut cerita asal, Siti Aminah ditinggalkan ibunya dan dibesarkan bapanya, tetapi dikatakan pembawa sial apabila 99 lelaki dikahwini mati secara misteri hingga membuatkan ramai yang marah dengan karakter utama mitos itu.

Bagaimanapun, di tangan Sabri, ia berubah menjadi cerita menyayat hati. Sabri tidak mahu memaparkan cerita asal mengenai Siti Aminah kerana ia memaparkan keburukan seorang wanita. Ternyata ramai yang simpati kepada wanita yang dikatakan begitu jelita dan mampu menumbangkan mana-mana lelaki melalui paparan Sabri.

Apakah rahsia kejayaan bapa tiga cahaya mata – Saidi, Shamimi dan Shazni hasil perkahwinan dengan Noraya Mohd Yusof melalui Sanggul Beracun ini? Ikuti temu bual wartawan Hiburan, RUDY IMRAN SHAMSUDIN (imran@hmetro.com.my) bersama Sabri mengenai kemenangan besar diraih drama diterbitkan Balang Rimbun Sdn Bhd ini.

Sabri yang dilahirkan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan pada 1961, bakal menghasilkan skrip drama Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman daripada karya yang menang tempat pertama Pertandingan Menulis Novel Yayasan Sabah dan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) pada 1979.

RAP: Bagaimana anda mengolah kisah mitos Siti Aminah?

SABRI: Saya tidak pernah lupa kisah Siti Aminah kerana bagi saya, ia sangat menarik. Bagaimanapun, saya tidak mengambil bulat-bulat cerita mengatakan Siti Aminah membunuh hampir 100 lelaki sebaliknya saya ubah dan buat sendiri agar orang bersimpati. Untuk menghasilkan skrip ini juga tidak lama kerana jalan ceritanya memang sudah ada dalam kepala.


RAP: Kekuatan yang anda rasakan dimiliki Sanggul Beracun sehingga menang Lakon TV Terbaik?

SABRI: Sebagai orang baru dan pertama kali mengarah, sudah tentu perasaan takut itu ada. Disebabkan itu juga saya pastikan skrip dihasilkan ini lengkap daripada sudut kamera dan permainan watak. Bayangkan lengkapnya skrip saya tulis ini, hingga mata pelakon berkelip atau tidak waktu babak dilakonkan turut saya nyatakan. Apabila saya menulis begitu, pelakon yang membintangi drama ini sudah faham dan tahu apa yang perlu dilakukan apabila masuk ke lokasi.

RAP: Apa yang bermain di kepala anda sebaik saja diumumkan menang Pengarah Terbaik Drama?

SABRI: Saya patutnya sudah lama buat benda (pengarahan) ini. Tidak sangka percubaan pertama ini membuahkan hasil yang besar. Sudah tentu bersyukur atas kemenangan ini dan ia memberi makna yang saya mampu melakukannya. Tidak sangka saya memperoleh kejayaan pada usia mencecah 50 tahun menerusi karya pertama dihasilkan.

RAP: Mengapa anda mengambil masa untuk tampil mengarah sedangkan pembabitan anda dalam dunia penerbitan sangat lama dan pengalaman juga banyak?

SABRI: Bukannya sebelum ini saya tidak pernah menulis atau mengarah. Pernah juga, tetapi bukan naskhah besar seperti Sanggul Beracun. Biasanya saya akan bantu menulis skrip dan mengarahkan sitkom untuk satu atau dua episod saja. Lagipun sebelum ini mungkin saya lebih selesa tampil di hadapan kamera berbanding menulis skrip atau mengarah. Saya sendiri tidak sangka diri saya mampu habis menulis Sanggul Beracun. Rupa-rupanya ada sesuatu yang besar dalam skrip ini.

Jujurnya, pada permulaan saya mahu orang lain yang mengarahkan Sanggul Beracun. Bagaimanapun, pengurus produksi meminta saya mengarahkan sendiri Sanggul Beracun kerana katanya hanya saya yang faham apa yang saya tulis. Saya katakan kepadanya saya cuba, tetapi kalau boleh berilah kepada orang yang lebih mahir. Saya juga ada beberapa nama yang saya fikir layak untuk mengarahkan Sanggul Beracun, tetapi mereka bertegas mahu saya mengarahkan Sanggul Beracun.

RAP: Sebelum majlis bermula, ramai menjangkakan drama arahan anda dan Erma Fatima, Airmata Nur Salina akan bersaing hebat. Adakah anda yakin Sanggul Beracun akan menang besar di ASK 2011?

SABRI: Pada peringkat awal, terus terang saya meletakkan harapan kepada Erra Fazira sebagai pelakon utama melakonkan watak Siti. Pada saya, kalau Erra menang Pelakon Wanita Terbaik Drama ia sudah mencukupi. Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Saya langsung tidak terfikir akan menang Pengarah Terbaik.

Apabila menang Lakon TV Terbaik, hati saya berbisik mungkin setakat ini saja, bagaimanapun rupanya ia menjadi permulaan untuk Sanggul Beracun merangkul anugerah lain. Kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk saya menghasilkan karya lebih menarik seperti Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman yang skripnya sedang saya usahakan.

RAP: Anda meletak harapan kepada Erra Fazira, tetapi malam ini dia tewas kepada Umie Aida. Komen anda mengenainya?

SABRI: Saya memang kecewa.

Erra begitu bagus membawakan watak Siti. Saya tidak kata Umie tidak bagus. Seperti yang diketahui umum, Umie juga pelakon berbakat besar, cuma saya tidak menonton Airmata Nur Salina. Pada waktu sama, watak Siti yang saya bayangkan dapat dizahirkan Erra dengan sangat baik. Pilihan saya untuk dia membintangi drama ini adalah tepat.

RAP: Kekuatan Sanggul Beracun pada pandangan anda sehingga ia mampu merangkul anugerah utama?

SABRI: Pada saya, kekuatan drama yang saya arahkan ini sudah tentu terletak kepada pelakonnya. Saya sangat cerewet dalam menentukan pelakon untuk membawakan setiap watak dan perwatakan. Mungkin kerana saya juga seorang pelakon menyebabkan begitu teliti untuk mencari pelakon yang hampir tepat dengan watak yang digambarkan.

Kebanyakan cerita yang saya suka bertitik-tolak daripada watak dan biasanya saya akan cuba membawa keluar watak tertentu dan dikembangkan untuk dijadikan satu cerita seperti apa yang saya buat dalam Sanggul Beracun.

RAP: Ceritakan sedikit projek selepas ini?

SABRI: Saya akan terus menulis skrip dan mengarahkan drama. Menerusi produksi sama, saya kini menghasilkan skrip Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman yang ditulis Dr Anwar Ridhwan. Ia pernah memenangi tempat pertama Pertandingan Menulis Novel Yayasan Sabah dan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) pada 1979.

Categories: Hiburan

Antara kualiti dan populariti

November 8, 2011 Leave a comment

Petikan dlm UtusanOn9

MEMANG dari awal lagi, ramai meramalkan drama Sanggul Beracun akan menang besar pada Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011) yang sudah pun melabuhkan tirainya pada malam Jumaat lalu.

Ternyata, Sanggul Beracun yang diterbitkan oleh Balang Rimbun Sdn. Bhd., itu berdepan dengan saingan yang cukup sengit daripada Airmata Nur Salina terbitan Rumah Karya Cipta Sdn. Bhd.

Akhirnya, keputusan berpihak kepada Sanggul Beracun yang memenangi empat trofi iaitu Drama, Pengarah Drama, Lakon TV dan Videografi Terbaik.

Ramai yang bertanya apa hebatnya Sanggul Beracun sehingga ia mampu menewaskan Airmata Nur Salina yang juga bukan calang-calang karya daripada sutradara ternama negara, Erma Fatima?

Bukan mahu bersikap bias mahupun berat sebelah, tetapi Sanggul Beracun telah membawa satu dimensi baru dalam penerbitan drama tempatan.

Dalam erti kata lain, drama arahan Sabri Yunus itu telah mengangkat mutu drama tempatan yang sekali gus meletakkan karya itu di kedudukan yang cukup tinggi.

Boleh dikatakan, Sanggul Beracun dibikin untuk anugerah di mana ia memiliki nilai estetika yang sangat tinggi.

Barangkali penerbitnya mempunyai alasan tersendiri untuk ia ditayangkan di Astro Citra yang secara terangan tidak mempunyai jumlah pelanggan yang tinggi.

Mungkin siapa tahu Sanggul Beracun berdepan dengan kerenah birokrasi daripada sesetengah pihak yang meragui kemampuan drama yang diadaptasi daripada kisah mitos dari negeri Johor itu.

Dengan kejayaan Sanggul Beracun di ASK 2011, ia telah membuktikan bahawa sesebuah karya yang hebat dan bagus tidak semestinya diukur kepada rating.

Benar, Sanggul Beracun bukan sebuah drama popular kerana ia tidak dibintangi oleh barisan pelakon popular yang menjadi pujaan hati peminat masa kini melainkan Erra Fazira sahaja.

Tetapi kualiti yang ditonjolkan dalam drama itu dalam semua aspek termasuk jalan cerita, teknikal, sinematografi dan lakonan menjadikan Sanggul Beracun sebuah santapan lengkap untuk dinobatkan sebagai juara.

Airmata Nur Salina juga hebat dan ia boleh disifatkan sebagai karya Gred A kerana diarahkan dan dibintangi oleh anak seni yang mana kredibilitinya tidak wajar untuk dipertikaikan.

Mungkin tiada rezeki drama itu untuk dijulang sebagai pemenang dan Airmata Nur Salina sewajarnya berasa bertuah kerana maruahnya ditebus menerusi lakonan hebat Datin Umie Aida yang merangkul trofi Pelakon Wanita Drama Terbaik.

Dua drama itu sewajarnya dijadikan contoh oleh pembikin drama tempatan yang seharusnya lebih berani untuk menghasilkan karya yang dapat membawa industri penerbitan drama tempatan jauh ke hadapan.

Bukan hanya mesej atau jalan cerita yang harus dititik beratkan tetapi teknikal juga wajar diambil kira dan perhatian serius.

Tidak berniat untuk merendah-rendahkan sesiapa tetapi ada beberapa syarikat produksi yang dapat dilihat masih lagi berada di takuk lama dari segi kualiti penerbitannya.

Mesej ceritanya bagus tetapi apabila melihatkan kepada teknik pengarahan dan sinematografi, ia kelihatan sungguh stereotaip serta mudah dijangka siapakah pengarahnya.

Seperkara lagi adalah tentang drama rantaian yang masih lagi memperlihatkan kuasa Filmscape Sdn. Bhd., yang mencipta hatrik apabila memenangi Drama Rantaian Terbaik untuk tiga tahun berturut-turut.

Bermula dengan Kekasihku Seru pada tahun 2009, Nur Kasih (2010) dan terbaru, Juvana, kemenangan Filmscape juga wajar dijadikan contoh oleh syarikat produksi tempatan.

Mereka juga antara produksi tempatan yang cukup mementingkan kualiti penerbitan dan penceritaan sehingga hampir kesemua karya mereka mendapat sambutan luar biasa.

Pelakon senior menyerlah

Sesuatu yang menarik untuk diperkatakan juga tentang ASK 2011 apabila pemilihan beberapa pemenang yang membuktikan bahawa penangan pelakon senior masih lagi hebat.

Kemenangan Eman Manan dan Umie misalnya, yang memenangi kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Drama Terbaik pada malam itu secara muktamad menjelaskan bahawa bakat mereka masih lagi diperlukan dalam industri.

Di sebalik kebangkitan dan gemerlapan bintang pelakon muda popular hari ini, sengatan Eman dan Umie masih lagi berbisa.

Begitu juga dengan Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja yang memenangi kategori Pelakon Wanita Filem Terbaik menerusi filem Janin yang juga disifatkan sebagai sesuatu yang menarik.

Bayangkan, hanya selepas 15 tahun menjadi pelakon, akhirnya Eja dinobatkan sebagai yang terbaik. Ini secara tidak langsung dapat membuang pandangan skeptikal masyarakat yang barangkali sebelum ini memandang sebelah mata kepada bakat Eja.

Tidak dilupakan kehebatan pelakon veteran Sidek Hussain yang memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Filem Terbaik menerusi filem Karak sekali gus menewaskan pelakon-pelakon muda yang bertanding dalam kategori itu.

Tiada yang menarik

Setiap tahun, ASK akan berdepan dengan kritikan mengenai perjalanan anugerah yang dilihat tidak mampu meninggalkan impak besar kepada audiens.

Tahun ini juga nampaknya ASK masih lagi statik dan tiada apa yang menarik untuk diceritakan sehingga atmosfera di dalam Dewan Merdeka terasa begitu hambar sekali.

Dengan tepukan lemau dan lesu oleh penonton yang bagaikan tidak bersemangat memberikan sokongan membuatkan ASK 2011 terasa begitu membosankan.

Seperti mana yang dijangka, pemilihan hos kali ini iaitu Ally Iskandar dan Rozita Che Wan kelihatan sungguh canggung.

Ally tetap Ally manakala Rozita pula kelihatan kaku sehinggakan pergerakannya terlalu dikawal dan mengikut skrip. Dalam erti kata lain, Rozita tidak kelihatan asli (natural) dan nampaknya, dia perlukan masa yang lama untuk menjadi seorang hos.

Persembahan artis pada malam itu juga didominasi oleh penyanyi baru antaranya Najwa Latif, Awi Rafael dan Nashrin yang menyampaikan lagu-lagu popular mereka seperti Cinta Muka Buku, Pulanglah dan Fobia Cinta.

Tertanya juga, apakah rasionalnya pemilihan medley lagu-lagu Anuar Zain iaitu Ketulusan Hati dan Permata yang dinyanyikan oleh Alyah, Shila Amzah dan Jaclyn Victor?

Namun, persembahan yang cukup menyentuh hati adalah sewaktu Datuk Rahim Razali mendeklamasikan puisi karya Ahmad Fedtri Yahya berjudul Tenanglah Di Sana bagi segme Dalam Kenangan.

Pemilihan pelakon remaja wanita popular masa kini iaitu Nur Fathia, Kilafairy, Wawa Zainal dan Liyana Jasmay yang digandingkan bersama penyanyi lelaki popular seperti Ferhad, Aizat, Akim dan Tomok boleh dianggap sebagai penyeri ASK 2011.

Sudah tiba masanya untuk TV3 memikirkan mekanisme baru untuk meletakkan ASK di tempat yang sewajarnya. Bukan hanya sekadar acara anugerah yang hanya mahu menobatkan pemenang sahaja.

Categories: Hiburan Tags:

Keputusan penuh Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011) TV3

November 7, 2011 Leave a comment

Kategori Drama

1. Drama Terbaik – Sanggul Beracun (Sabri Yunus)
2. Pelakon Lelaki Terbaik Drama – Eman Manan (Janji Syurga)
3. Pelakon Wanita Terbaik – Umie Aida (Air Mata Nur Salina)
4. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Allahyarham Faizal Yusof (Jangan Hantar Aku Ke Neraka)
5. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Elfira Loy (Kum Kum)
6. Pengarah Terbaik Drama – Sabri Yunus (Sanggul Beracun)
7. Lakon TV Terbaik – Sabri Yunus (Sanggul Beracun)
8. Drama Rantaian Terbaik – Juvana (Filmscape Sdn Bhd)
9. Drama Komedi Terbaik – Geng Surau (Pena Kreatif Sdn Bhd)
10. Videografi Terbaik – Sanggul Beracun (Balang Rimba Sdn Bhd)

Kategori Filem

1. Filem Terbaik – Magika (KRU Studios)
2. Pelakon Lelaki Terbaik Filem – Remy Ishak, (Cun!)
3. Pelakon Wanita Terbaik Filem – Eja (Janin)
4. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem – Sidek Hussin (Karak)
5. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem – Nadiya Nisa (Cun!)
6. Pengarah Terbaik Filem – Osman Ali (Cun!)
7. Lakon Layar Terbaik Filem – Aku Tak Bodoh (Erhan Baharudin & Sujin Lee)

Kategori Penerbitan Dalaman

1. Rancangan Dokumentari/ Majalah Terbaik – Suatu Ketika: Ep Yuen Yuet Leng
2. Rancangan Bual Bicara Terbaik – Selami Jiwa: Datuk Fadzillah Kamsah
3. Rancangan Hiburan Terbaik – Maharaja Lawak Akhir
4. Rancangan Muzikal Terbaik – Shout! Awards 2010
5. Rancangan Realiti Terbaik – Showdown 2011: Top 12 Show
6. Laporan Khas/ Berita Terbaik – Buletin Utama, Pengemis Terhemat.

Anugerah Khas

1. Anugerah Yasmin Ahmad – Syamsul Yusof
2. Anugerah Artis Harapan Pantene – Fazli Daniel Ali (Yang Terpuji)

Categories: Hiburan

Kenapa susah sangat nak tepuk?

November 7, 2011 Leave a comment

Petikan drpd akhbarOn9MyMetro bertarikh 071111

ANUGERAH Skrin 2011 (ASK2011) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Jumaat lalu, nyata dibanjiri ratusan penggiat seni tempatan merangkumi pengarah, produser, penulis skrip, pelakon, kru filem serta selebriti ternama.

Sememangnya sambutan yang diberikan kepada ASK saban tahun sentiasa konsisten kerana itulah saat untuk warga filem dan penerbitan berkumpul, menghitung debaran untuk melihat siapa yang hebat dalam bidang masing-masing.
Beberapa kelainan dapat disaksikan tahun ini dan antara paling ketara, kemunculan pelakon jelita kelahiran Kedah, Rozita Che Wan yang diberi mandat menggalas tugas sebagai pengacara di samping Ally Iskandar.

Ally sendiri pertama kali diberi peluang menjadi hos ASK selepas banyak mengacarakan majlis lain termasuk Anugerah Juara Lagu (AJL).Sewaktu pihak TV3 mengumumkan Rozita sebagai pengacara dalam sidang media di Hotel Double Tree by Hilton, Kuala Lumpur, beberapa minggu lalu, ramai juga mempersoalkan kemampuannya.
Ini kerana Rozita tiada sebarang pengalaman mengacara ‘live’ berbeza dengan Ally yang sudah biasa mengendalikan program besar.

Bagaimanapun, Rozita atau nama panggilan mesranya Che’ Ta, nyata tidak mengecewakan meskipun nampak terlalu berjaga-jaga. Malah jenaka Rozita agak menjadi seperti memberi komen filem yang bertanding ada yang seram dan ada pula yang ‘seram sejuk’. Sebagai ujian awal, Rozita boleh dianggap berjaya dan mampu menjadi hos yang baik satu ketika nanti.

Ally pula cuba menjadikan majlis itu seperti Academy Awards apabila mengusik artis yang datang secara spontan. Antara yang sempat diusik Ally adalah Neelofa, Tiz Zaqyah, Farid Kamil dan David Teo.

Namun, antara komen membina yang Rap terima daripada penonton di rumah adalah acara yang penuh sesak dengan ribuan tetamu menjadi dingin apabila tetamu bersikap sangat pasif kecuali segelintir peminat di bahagian belakang.

Ramai hairan mereka begitu malas hendak berikan tepukan sehingga Ally sendiri beberapa kali terpaksa menagih tepukan daripada penonton.

Malah satu insiden dapat disaksikan penonton di rumah tatkala seorang pelakon wanita menang di pentas sementara wajah calon pesaing hanya memandang sepi dan tidak memberikan sebarang reaksi mahupun tepukan.

Keadaannya sangat berbeza kalau kita lihat majlis anugerah antarabangsa seperti Academy Awards atau Golden Globe Awards yang memperlihatkan semua orang mahu berpesta meraikan kejayaan orang lain.

Misalnya, Halle Berry ketika menerima Oscar bagi Pelakon Wanita Terbaik menerusi Monster’s Ball pada 2002 menerima sokongan hebat daripada rakan pesaing seperti Nicole Kidman (Moulin Rouge) dan Judi Dench (Iris).

Dalam hal ini penulis berasakan ia berkaitan semangat dan mentaliti golongan artis dan karyawan seni itu sendiri. Ia sangat berbeza apabila majlis yang membabitkan kehadiran lebih ramai peminat seperti Anugerah Bintang Popular (ABPBH), AJL dan Shout! Awards.

Sepatutnya acara seperti ASK dan Festival Filem Malaysia (FFM) lebih meriah kerana kebanyakan yang datang adalah artis sendiri.

Satu lagi sikap kurang sihat dalam kalangan segelintir penggiat seni kita apabila ada calon dan pemenang tidak hadir. Di mana Eman Manan dan Sidek Hussin? Sekurang-kurangnya Elfira Loy yang menang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama sudah memaklumkan dia terikat dengan tuisyen bagi menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Keadaan ini perlu dihentikan dan jangan suka menyalah penaja kalau mereka kadangkala sukar menaja acara hiburan kerana ada artis sendiri semacam tidak tahu menghargai acara buat diri mereka.
Apa yang nyata, kategori utama ASK2011 menyaksikan kemenangan ramai bintang ‘senior’ seperti Umie Aida, Eja, Eman Manan dan Sabri Yunus.

Kali pertama juga, ASK menyelitkan penggunaan teknologi Definasi Tinggi (HD) dan skrin LCD yang sungguh hebat dan gah. Ia memberikan impak yang baik dan menampakkan pentas itu kemas dan luas.

Percubaan menggunakan iPad bagi mengumumkan keputusan ASK2011 walaupun canggih, agak berisiko. Sepatutnya penggunaan iPad malam itu dipermudahkan lagi kerana kalau tidak kena gaya, ia mendatangkan masalah seperti yang berlaku ketika penyampai hendak mengumumkan satu kategori.

Secara perbandingan, daripada sudut persembahan, ia boleh dikatakan sederhana saja kerana ada persembahan malam kemuncak ASK terdahulu yang lebih hebat seperti yang bertemakan Arabian Nite.

Ramai juga tertanya-tanya kenapa perlu memberikan ‘tribute’ malam itu kepada lagu Anuar Zain? Segmen itu membabitkan persembahan Alyah, Jaclyn Victor dan Shila Amzah sedangkan banyak lagi artis veteran lain boleh diberikan ‘tribute’ seperti Puan Sri Saloma, Datin Rafeah Buang atau Uji Rashid. Malah Anuar sendiri tidak kelihatan pada malam itu.

Namun, vokal ketiga-tiga artis itu cukup hebat kerana mereka memang aset penting kepada industri hiburan tanah air masa kini.

Persembahan lain yang berkesan adalah deklamasi puisi oleh Datuk Rahim Razali buat karyawan yang sudah kembali ke rahmatullah.

Usaha menggandingkan empat pelakon muda – Fathia, Kilafairy, Wawa Zainal dan Liyana Jasmay bersama penyanyi lelaki – Ferhad, Aizat, Akim serta Tomok memang baik namun lagu yang disampaikan mereka pula kurang memberikan kesan dramatik sebagai acara penutup.

Corat-Coret

MALAM itu Alyah dikritik dalam laman Twitter kerana baju yang digayakan dianggap terlalu seksi dan singkat. Namun baju itu khabarnya disediakan oleh pereka fesyen yang ditetapkan pihak penganjur. Alyah sepatutnya menyarung ‘legging’ warna emas tetapi ‘legging’ itu pula dikatakan terkoyak. Mujurlah ada selendang jarang yang menutup tubuh dan kaki Alyah.

PELAKON pujaan Malaya, Remy Ishak pula terpaksa berlari-lari dari belakang pentas sewaktu ingin mengambil Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Filem. Difahamkan, dia sedang bersembang dengan rakan artis di ketika itu.

PENONTON yang duduk berhampiran pentas Dewan Merdeka panik seketika apabila berlaku kebakaran kecil apabila api daripada bunga api pada awal persembahan menyambar ‘monitor’. Ketika itu Elecoldxhot, Black dan Azlan sedang menyanyi. Namun api itu akhirnya berjaya dipadamkan.

RAMAI menyangka Rosyam Nor dan Shaheizy Sam benar-benar menyindir antara satu sama lain ketika menyampaikan trofi bagi empat kategori walhal mereka sebenarnya sekadar berlakon dan beraksi mengikut skrip.

PASANGAN berkasih yang baru mengaku bercinta, minggu lalu, Tiz Zaqyah dan Remy Ishak mendapat tumpuan jurukamera dan wartawan hiburan ketika acara karpet merah berlangsung.

PENDATANG baru, Neelofa dan Izara Aishah, begitu mencuri tumpuan peminat di luar Dewan Merdeka yang mahu merakamkan gambar mereka. Teruk juga mereka diserbu!

ALLY Iskandar, berulang kali menyebut nama Neelofa sewaktu mengacarakan majlis berprestij itu. Bisik seorang penonton: “Taste ke?”

Categories: Hiburan