Home > Hiburan > Kenapa susah sangat nak tepuk?

Kenapa susah sangat nak tepuk?

Petikan drpd akhbarOn9MyMetro bertarikh 071111

ANUGERAH Skrin 2011 (ASK2011) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Jumaat lalu, nyata dibanjiri ratusan penggiat seni tempatan merangkumi pengarah, produser, penulis skrip, pelakon, kru filem serta selebriti ternama.

Sememangnya sambutan yang diberikan kepada ASK saban tahun sentiasa konsisten kerana itulah saat untuk warga filem dan penerbitan berkumpul, menghitung debaran untuk melihat siapa yang hebat dalam bidang masing-masing.
Beberapa kelainan dapat disaksikan tahun ini dan antara paling ketara, kemunculan pelakon jelita kelahiran Kedah, Rozita Che Wan yang diberi mandat menggalas tugas sebagai pengacara di samping Ally Iskandar.

Ally sendiri pertama kali diberi peluang menjadi hos ASK selepas banyak mengacarakan majlis lain termasuk Anugerah Juara Lagu (AJL).Sewaktu pihak TV3 mengumumkan Rozita sebagai pengacara dalam sidang media di Hotel Double Tree by Hilton, Kuala Lumpur, beberapa minggu lalu, ramai juga mempersoalkan kemampuannya.
Ini kerana Rozita tiada sebarang pengalaman mengacara ‘live’ berbeza dengan Ally yang sudah biasa mengendalikan program besar.

Bagaimanapun, Rozita atau nama panggilan mesranya Che’ Ta, nyata tidak mengecewakan meskipun nampak terlalu berjaga-jaga. Malah jenaka Rozita agak menjadi seperti memberi komen filem yang bertanding ada yang seram dan ada pula yang ‘seram sejuk’. Sebagai ujian awal, Rozita boleh dianggap berjaya dan mampu menjadi hos yang baik satu ketika nanti.

Ally pula cuba menjadikan majlis itu seperti Academy Awards apabila mengusik artis yang datang secara spontan. Antara yang sempat diusik Ally adalah Neelofa, Tiz Zaqyah, Farid Kamil dan David Teo.

Namun, antara komen membina yang Rap terima daripada penonton di rumah adalah acara yang penuh sesak dengan ribuan tetamu menjadi dingin apabila tetamu bersikap sangat pasif kecuali segelintir peminat di bahagian belakang.

Ramai hairan mereka begitu malas hendak berikan tepukan sehingga Ally sendiri beberapa kali terpaksa menagih tepukan daripada penonton.

Malah satu insiden dapat disaksikan penonton di rumah tatkala seorang pelakon wanita menang di pentas sementara wajah calon pesaing hanya memandang sepi dan tidak memberikan sebarang reaksi mahupun tepukan.

Keadaannya sangat berbeza kalau kita lihat majlis anugerah antarabangsa seperti Academy Awards atau Golden Globe Awards yang memperlihatkan semua orang mahu berpesta meraikan kejayaan orang lain.

Misalnya, Halle Berry ketika menerima Oscar bagi Pelakon Wanita Terbaik menerusi Monster’s Ball pada 2002 menerima sokongan hebat daripada rakan pesaing seperti Nicole Kidman (Moulin Rouge) dan Judi Dench (Iris).

Dalam hal ini penulis berasakan ia berkaitan semangat dan mentaliti golongan artis dan karyawan seni itu sendiri. Ia sangat berbeza apabila majlis yang membabitkan kehadiran lebih ramai peminat seperti Anugerah Bintang Popular (ABPBH), AJL dan Shout! Awards.

Sepatutnya acara seperti ASK dan Festival Filem Malaysia (FFM) lebih meriah kerana kebanyakan yang datang adalah artis sendiri.

Satu lagi sikap kurang sihat dalam kalangan segelintir penggiat seni kita apabila ada calon dan pemenang tidak hadir. Di mana Eman Manan dan Sidek Hussin? Sekurang-kurangnya Elfira Loy yang menang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama sudah memaklumkan dia terikat dengan tuisyen bagi menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Keadaan ini perlu dihentikan dan jangan suka menyalah penaja kalau mereka kadangkala sukar menaja acara hiburan kerana ada artis sendiri semacam tidak tahu menghargai acara buat diri mereka.
Apa yang nyata, kategori utama ASK2011 menyaksikan kemenangan ramai bintang ‘senior’ seperti Umie Aida, Eja, Eman Manan dan Sabri Yunus.

Kali pertama juga, ASK menyelitkan penggunaan teknologi Definasi Tinggi (HD) dan skrin LCD yang sungguh hebat dan gah. Ia memberikan impak yang baik dan menampakkan pentas itu kemas dan luas.

Percubaan menggunakan iPad bagi mengumumkan keputusan ASK2011 walaupun canggih, agak berisiko. Sepatutnya penggunaan iPad malam itu dipermudahkan lagi kerana kalau tidak kena gaya, ia mendatangkan masalah seperti yang berlaku ketika penyampai hendak mengumumkan satu kategori.

Secara perbandingan, daripada sudut persembahan, ia boleh dikatakan sederhana saja kerana ada persembahan malam kemuncak ASK terdahulu yang lebih hebat seperti yang bertemakan Arabian Nite.

Ramai juga tertanya-tanya kenapa perlu memberikan ‘tribute’ malam itu kepada lagu Anuar Zain? Segmen itu membabitkan persembahan Alyah, Jaclyn Victor dan Shila Amzah sedangkan banyak lagi artis veteran lain boleh diberikan ‘tribute’ seperti Puan Sri Saloma, Datin Rafeah Buang atau Uji Rashid. Malah Anuar sendiri tidak kelihatan pada malam itu.

Namun, vokal ketiga-tiga artis itu cukup hebat kerana mereka memang aset penting kepada industri hiburan tanah air masa kini.

Persembahan lain yang berkesan adalah deklamasi puisi oleh Datuk Rahim Razali buat karyawan yang sudah kembali ke rahmatullah.

Usaha menggandingkan empat pelakon muda – Fathia, Kilafairy, Wawa Zainal dan Liyana Jasmay bersama penyanyi lelaki – Ferhad, Aizat, Akim serta Tomok memang baik namun lagu yang disampaikan mereka pula kurang memberikan kesan dramatik sebagai acara penutup.

Corat-Coret

MALAM itu Alyah dikritik dalam laman Twitter kerana baju yang digayakan dianggap terlalu seksi dan singkat. Namun baju itu khabarnya disediakan oleh pereka fesyen yang ditetapkan pihak penganjur. Alyah sepatutnya menyarung ‘legging’ warna emas tetapi ‘legging’ itu pula dikatakan terkoyak. Mujurlah ada selendang jarang yang menutup tubuh dan kaki Alyah.

PELAKON pujaan Malaya, Remy Ishak pula terpaksa berlari-lari dari belakang pentas sewaktu ingin mengambil Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Filem. Difahamkan, dia sedang bersembang dengan rakan artis di ketika itu.

PENONTON yang duduk berhampiran pentas Dewan Merdeka panik seketika apabila berlaku kebakaran kecil apabila api daripada bunga api pada awal persembahan menyambar ‘monitor’. Ketika itu Elecoldxhot, Black dan Azlan sedang menyanyi. Namun api itu akhirnya berjaya dipadamkan.

RAMAI menyangka Rosyam Nor dan Shaheizy Sam benar-benar menyindir antara satu sama lain ketika menyampaikan trofi bagi empat kategori walhal mereka sebenarnya sekadar berlakon dan beraksi mengikut skrip.

PASANGAN berkasih yang baru mengaku bercinta, minggu lalu, Tiz Zaqyah dan Remy Ishak mendapat tumpuan jurukamera dan wartawan hiburan ketika acara karpet merah berlangsung.

PENDATANG baru, Neelofa dan Izara Aishah, begitu mencuri tumpuan peminat di luar Dewan Merdeka yang mahu merakamkan gambar mereka. Teruk juga mereka diserbu!

ALLY Iskandar, berulang kali menyebut nama Neelofa sewaktu mengacarakan majlis berprestij itu. Bisik seorang penonton: “Taste ke?”

Categories: Hiburan
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: