Home > Hiburan > Antara kualiti dan populariti

Antara kualiti dan populariti

Petikan dlm UtusanOn9

MEMANG dari awal lagi, ramai meramalkan drama Sanggul Beracun akan menang besar pada Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011) yang sudah pun melabuhkan tirainya pada malam Jumaat lalu.

Ternyata, Sanggul Beracun yang diterbitkan oleh Balang Rimbun Sdn. Bhd., itu berdepan dengan saingan yang cukup sengit daripada Airmata Nur Salina terbitan Rumah Karya Cipta Sdn. Bhd.

Akhirnya, keputusan berpihak kepada Sanggul Beracun yang memenangi empat trofi iaitu Drama, Pengarah Drama, Lakon TV dan Videografi Terbaik.

Ramai yang bertanya apa hebatnya Sanggul Beracun sehingga ia mampu menewaskan Airmata Nur Salina yang juga bukan calang-calang karya daripada sutradara ternama negara, Erma Fatima?

Bukan mahu bersikap bias mahupun berat sebelah, tetapi Sanggul Beracun telah membawa satu dimensi baru dalam penerbitan drama tempatan.

Dalam erti kata lain, drama arahan Sabri Yunus itu telah mengangkat mutu drama tempatan yang sekali gus meletakkan karya itu di kedudukan yang cukup tinggi.

Boleh dikatakan, Sanggul Beracun dibikin untuk anugerah di mana ia memiliki nilai estetika yang sangat tinggi.

Barangkali penerbitnya mempunyai alasan tersendiri untuk ia ditayangkan di Astro Citra yang secara terangan tidak mempunyai jumlah pelanggan yang tinggi.

Mungkin siapa tahu Sanggul Beracun berdepan dengan kerenah birokrasi daripada sesetengah pihak yang meragui kemampuan drama yang diadaptasi daripada kisah mitos dari negeri Johor itu.

Dengan kejayaan Sanggul Beracun di ASK 2011, ia telah membuktikan bahawa sesebuah karya yang hebat dan bagus tidak semestinya diukur kepada rating.

Benar, Sanggul Beracun bukan sebuah drama popular kerana ia tidak dibintangi oleh barisan pelakon popular yang menjadi pujaan hati peminat masa kini melainkan Erra Fazira sahaja.

Tetapi kualiti yang ditonjolkan dalam drama itu dalam semua aspek termasuk jalan cerita, teknikal, sinematografi dan lakonan menjadikan Sanggul Beracun sebuah santapan lengkap untuk dinobatkan sebagai juara.

Airmata Nur Salina juga hebat dan ia boleh disifatkan sebagai karya Gred A kerana diarahkan dan dibintangi oleh anak seni yang mana kredibilitinya tidak wajar untuk dipertikaikan.

Mungkin tiada rezeki drama itu untuk dijulang sebagai pemenang dan Airmata Nur Salina sewajarnya berasa bertuah kerana maruahnya ditebus menerusi lakonan hebat Datin Umie Aida yang merangkul trofi Pelakon Wanita Drama Terbaik.

Dua drama itu sewajarnya dijadikan contoh oleh pembikin drama tempatan yang seharusnya lebih berani untuk menghasilkan karya yang dapat membawa industri penerbitan drama tempatan jauh ke hadapan.

Bukan hanya mesej atau jalan cerita yang harus dititik beratkan tetapi teknikal juga wajar diambil kira dan perhatian serius.

Tidak berniat untuk merendah-rendahkan sesiapa tetapi ada beberapa syarikat produksi yang dapat dilihat masih lagi berada di takuk lama dari segi kualiti penerbitannya.

Mesej ceritanya bagus tetapi apabila melihatkan kepada teknik pengarahan dan sinematografi, ia kelihatan sungguh stereotaip serta mudah dijangka siapakah pengarahnya.

Seperkara lagi adalah tentang drama rantaian yang masih lagi memperlihatkan kuasa Filmscape Sdn. Bhd., yang mencipta hatrik apabila memenangi Drama Rantaian Terbaik untuk tiga tahun berturut-turut.

Bermula dengan Kekasihku Seru pada tahun 2009, Nur Kasih (2010) dan terbaru, Juvana, kemenangan Filmscape juga wajar dijadikan contoh oleh syarikat produksi tempatan.

Mereka juga antara produksi tempatan yang cukup mementingkan kualiti penerbitan dan penceritaan sehingga hampir kesemua karya mereka mendapat sambutan luar biasa.

Pelakon senior menyerlah

Sesuatu yang menarik untuk diperkatakan juga tentang ASK 2011 apabila pemilihan beberapa pemenang yang membuktikan bahawa penangan pelakon senior masih lagi hebat.

Kemenangan Eman Manan dan Umie misalnya, yang memenangi kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Drama Terbaik pada malam itu secara muktamad menjelaskan bahawa bakat mereka masih lagi diperlukan dalam industri.

Di sebalik kebangkitan dan gemerlapan bintang pelakon muda popular hari ini, sengatan Eman dan Umie masih lagi berbisa.

Begitu juga dengan Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja yang memenangi kategori Pelakon Wanita Filem Terbaik menerusi filem Janin yang juga disifatkan sebagai sesuatu yang menarik.

Bayangkan, hanya selepas 15 tahun menjadi pelakon, akhirnya Eja dinobatkan sebagai yang terbaik. Ini secara tidak langsung dapat membuang pandangan skeptikal masyarakat yang barangkali sebelum ini memandang sebelah mata kepada bakat Eja.

Tidak dilupakan kehebatan pelakon veteran Sidek Hussain yang memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Filem Terbaik menerusi filem Karak sekali gus menewaskan pelakon-pelakon muda yang bertanding dalam kategori itu.

Tiada yang menarik

Setiap tahun, ASK akan berdepan dengan kritikan mengenai perjalanan anugerah yang dilihat tidak mampu meninggalkan impak besar kepada audiens.

Tahun ini juga nampaknya ASK masih lagi statik dan tiada apa yang menarik untuk diceritakan sehingga atmosfera di dalam Dewan Merdeka terasa begitu hambar sekali.

Dengan tepukan lemau dan lesu oleh penonton yang bagaikan tidak bersemangat memberikan sokongan membuatkan ASK 2011 terasa begitu membosankan.

Seperti mana yang dijangka, pemilihan hos kali ini iaitu Ally Iskandar dan Rozita Che Wan kelihatan sungguh canggung.

Ally tetap Ally manakala Rozita pula kelihatan kaku sehinggakan pergerakannya terlalu dikawal dan mengikut skrip. Dalam erti kata lain, Rozita tidak kelihatan asli (natural) dan nampaknya, dia perlukan masa yang lama untuk menjadi seorang hos.

Persembahan artis pada malam itu juga didominasi oleh penyanyi baru antaranya Najwa Latif, Awi Rafael dan Nashrin yang menyampaikan lagu-lagu popular mereka seperti Cinta Muka Buku, Pulanglah dan Fobia Cinta.

Tertanya juga, apakah rasionalnya pemilihan medley lagu-lagu Anuar Zain iaitu Ketulusan Hati dan Permata yang dinyanyikan oleh Alyah, Shila Amzah dan Jaclyn Victor?

Namun, persembahan yang cukup menyentuh hati adalah sewaktu Datuk Rahim Razali mendeklamasikan puisi karya Ahmad Fedtri Yahya berjudul Tenanglah Di Sana bagi segme Dalam Kenangan.

Pemilihan pelakon remaja wanita popular masa kini iaitu Nur Fathia, Kilafairy, Wawa Zainal dan Liyana Jasmay yang digandingkan bersama penyanyi lelaki popular seperti Ferhad, Aizat, Akim dan Tomok boleh dianggap sebagai penyeri ASK 2011.

Sudah tiba masanya untuk TV3 memikirkan mekanisme baru untuk meletakkan ASK di tempat yang sewajarnya. Bukan hanya sekadar acara anugerah yang hanya mahu menobatkan pemenang sahaja.

Categories: Hiburan Tags:
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: