Home > Uncategorized > Ombak Rindu tragedi murahan

Ombak Rindu tragedi murahan

Salah 1 artikel dlm Utusan 11/12/11

DALAM kebudayaan Barat, seni persembahan genre drama Greek menerapkan unsur tragedi sebagai asas penciptaan karya seni persembahan atau tulisan.

Merujuk karya ilmiah berjudul Makna Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam oleh Prof Muhammad Naquib Al-Attas, Tokoh Melayu Terbilang 2011 merumuskan unsur tragedi bukan lagi wujud dalam bentuk seni, malah ia wujud dalam pengalaman sebenar yang dialami oleh masyarakat Barat.

Menurut al-Attas, “Seakan-akan dalam pengalaman dan kesedaran itu diada-adakan berterusan rasa bersalah-durhaka yang menghantui mereka, yang diajarkan oleh agama sebagai dosa asal yang dilakukan bapa kepada segala insan, yang telah tersilap langkah terpikat oleh peluang yang disodori godaan si penghasut yang mahu menyaksikan kejatuhannya dari rahmat Tuhan.”

Selanjutnya, kejatuhan bapa segala manusia ke lurah kehinaan sebagai “Suatu sumpahan berterusan ke atas anak cucu dengan rundungan berterusan menyebabkan mereka merasa bersalah dan sentiasa menyakiti hati dan fikiran mereka sendiri sepanjang zaman.”

Selepas dibuang ke dunia, seperti pada babak pertengahan karya seni, peranan mereka tetap “Bertelagah dan melakukan keganasan”. Tambah al-Attas, “Ketagihan pada tragedi dan seni yang memperlakonkannya sedemikian laku sehingga agama sekalipun terpaksa ditempa dalam acuan tragedi.

Dunia bagaikan pentas besar di mana insan merekacipta, melakonkan dan menyaksikan drama (lakonan) hidupnya sendiri demi menghasilkan kelegaan diri mereka daripada rasa takut dan hiba akan kesengsaraan diri.” (khatarsis).

Al-Attas merumuskan, “Tragedi bukan lagi suatu bentuk seni, kerana ia telah memberi kesan nyata kepada kebudayaan dan kerohanian Barat pada semua zaman.”

Lebih jauh lagi, fahaman humanisme dan sekularisme yang muncul pada Zaman Pertengahan di Barat, “Beransur serempak dengan munculnya falsafah dan sains sekular yang telah menjadikan tragedi menggantikan agama sebagai jalan untuk memartabatkan keluhuran insan.”

Pengalaman tragedi dalam masyarakat Barat ini dijelaskan al-Attas dalam pengalaman Barat terhadap golongan gereja dan golongan pendeta Kristian yang sudah pastinya berbeza dengan pengalaman Islam.

Filem Ombak Rindu arahan Osman Ali bermula tragedi Ustazah Izzah dihantar bapa saudaranya Taha kepada Kelvin, pemilik kelab malam sebagai pelayan kelab dan pelacur sebelum dibeli oleh Hariz sebagai perempuan simpanannya. Babak awal memaparkan alam yang indah dan disusuli Ustazah Izzah membaca doa selesai membaca al Quran.

Di kelab malam, Ustazah Izzah dicengkam rahangnya oleh Kelvin dan orang-orangnya lalu dituangkan arak ke dalam mulut Ustazah Izzah. Baju kurung Ustazah Izzah dikoyak oleh Kelvin lalu pengsan. Apabila sedar, Izzah melihat Hariz menanggalkan bajunya dan meratah tubuhnya dengan mata nafsu haiwannya.

Ustazah Izzah bersikap “pasrah” untuk dirogol Hariz. Ustazah Izzah memaut kaki Hariz merayu-rayu meminta agar dirinya dibeli oleh Hariz. Ustazah Izzah diperlakukan sebagai wanita murahan, sehingga meminta Hariz menjadikannya sebagai isteri, namun sanggup dinafikan hak-hak sebagai isteri demi menikmati hubungan seks halal. Mereka menikah di Selatan Siam.

Tragedi identiti dan nilai merujuk pada sifat zahir dan batin diri sebagai watak penjahat yang dipenuhi nilai keji seperti khianat, penipuan, pura-pura, munafik dan penonjolan sifat haiwan. Pernikahan Hariz dan Izzah dirahsiakan daripada ibunya oleh Pak Dollah dan isterinya. Mila sebagai selebriti yang baharu pulang dari luar negeri bercakap rojak dan Datin Suffiah yang berambut warna mengerbang, mendedahkan pangkal dada merupakan watak yang dicengkam tragedi identiti dan nilai yang kronis.

Wafiah, sahabat Hariz tiba-tiba muncul memeluk Hariz kecewa akibat cinta, merupakan watak tragedi nilai dan identiti. Taha juga mewakili watak yang mengalami tragedi identiti dan nilai. Pak Dollah dan isterinya sebagai watak manusia beragama yang pasif sekadar pembantu rumah. Sehingga Pak Dollah muncul tiba-tiba menyatakan Hariz adalah anak kandungnya kepada Datin Suffiah sebagai suatu bentuk tragedi identiti dan nilai.

Kerangka

Berdasarkan hujah tersebut, nyatalah Ombak Rindu dibikin dalam kerangka pengalaman Barat dengan penerapan unsur tragedi secara meluas. Penonton sama ada sedar atau tidak disihir dengan tragedi untuk berasa simpati kepada Ustazah Izzah. Walaupun ada babak Ustazah Izzah membaca al-Quran dalam bilik diintai oleh Hariz semasa Ustazah Izzah masih perempuan simpanan Hariz, namun itu bukanlah bukti kuat menunjukkan Hariz bertaubat. Hariz hanya simpati pada Ustazah Izzah atas tabiat kemanusiaan dan nafsu badaniah sahaja.

Tiada langsung babak memperlihatkan Hariz menunaikan ibadat hatta solat. Agama hanya tempelan sahaja. Kemuncak cerita ini ialah pendedahan tragedi Pak Dollah-Datuk Suffiah, tragedi penceraian Mila-Hariz. Walaupun Hariz dan Ustazah Izzah menaiki kapal layar namun tiada babak menunjukkan Hariz berubah menjadi baik kerana agama, melainkan perubahan kerana simpati dan nafsu badaniah sahaja terhadap Ustazah Izzah.

Hal ini berbeza dengan pengalaman Islam dimana Adam a.s yang sedar lalu memohon ampun dosanya biarpun terlontar ke dunia. Allah menjanjikan kepada Adam a.s dan zuriatnya hidayat dan keselamatan bagi mereka yang ikhlas melaksanakan agama Allah. Merajalelanya watak Datuk Suffiah, ingkar dan kerasnya Mila dan ketiadaan babak Hariz pulang kepada Allah membuktikan filem ini adalah filem tragedi murahan semata-mata.

Manakala citra agama menerusi Ustazah Izzah dalam keadaan terhina, ketidakupayaan dan pasrah dalam lembah kehinaan. Agama pada Ustazah Izzah hanya pada tudung, kenaifan, mengajar dan membaca al-Quran. Agama pada Pak Dollah dan isterinya pada songkok dan pergi haji. Sampai bila kita hendak menyaksikan watak Melayu pincang dan keliru? Bilakah kita boleh berbangga pada filem kita yang mengangkat keunggulan identiti dan nilai jatidiri kita?

Usah tertipu aspek teknikal filem seperti sinematografi, pencahayaan, pengarahan dan lakonan sahaja, namun falsafahnya hancur mengaibkan orang Melayu dan Islam.

 
 
Categories: Uncategorized
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: