Home > Uncategorized > Osbon berbaloi keno kutuk

Osbon berbaloi keno kutuk

Juara Maharaja Lawak Mega > OSBON

Image

JUARA Maharaja Lawak Mega (MLM), kumpulan Osbon yang dianggotai oleh Os dan Abon berasa berbaloi menerima banyak kritikan daripada para pengkritik pertandingan itu apabila di penghujungnya, mereka meraih hadiah wang tunai RM350,000 dan trofi.

Menurut Os atau Mohd. Yusof Abdul Hamid, 50, dia dan Abon tidak pernah berkecil hati dengan segala kritikan dan kutukan itu, malah menerimanya dengan positif serta hati yang terbuka demi meneruskan saingan dalam pertandingan tersebut.

“Kami terima segala kritikan itu dengan hati ikhlas. Contohnya apabila Zainal Abidin Hassan yang mengkritik kami dengan cara memberikan kad merah. Saya tidak kecil hati. Bukan setakat para pengkritik, Abon sendiri bantai saya juga, tetapi saya tidak kisah.

“Bagi saya para pengkritik seperti cikgu yang mengajar sesuatu subjek di mana kalau kita melawan mereka, maka keputusan peperiksaan nanti mungkin boleh kantoi (gagal). Saya sudah biasa kena kritik termasuklah dalam filem-filem lakonan saya sebelum ini,” katanya.

Dengan kemenangan itu, Osbon mengetepikan saingan terdekat mereka iaitu kumpulan Boboi yang dianggotai oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik yang muncul naib juara dengan mendapat hadiah wang tunai RM250,000.

Abon atau Sharizan Ahmad, 51, juga tidak menafikan kritikan serta kutukan yang dilemparkan kepadanya di mana pada masa sama dia menerima dengan reda, biarpun ia datangnya daripada pengkritik yang bukan daripada kalangan pelakon atau pelawak.

“Sewaktu tiga minggu pertama MLM semasa dikritik saya berasa terpinga-pinga kerana orang yang mengkritik kami itu bukannya pelawak. Datuk Chef Wan misalnya adalah seorang tukang masak dan begitu juga Zainal Abidin Hassan adalah pemain bola sepak.

“Jadi apabila dikritik sebegitu rupa, saya tidak patah semangat. Saya semakin bersemangat dan mahu membuktikan kritikan itu juga harus dilawan. Kami harus membuktikan bakat sebenar kami dan menganggap ini adalah pentas sebenar kami sebagai pelawak.

“Ia bukan main-main atau cubaan dan kami telah membuktikan ketahanan kami sebagai peserta MLM. Sepanjang 10 minggu menyertai pertandingan itu, kami tidak pernah membantah atau melawan juri yang telah mengkritik kami. Kami menghormati mereka,” ujarnya.

MLM yang memberikan markahnya sebanyak 70 markah daripada para pengkritik dan 30 markah lagi menerusi undian khidmat pesanan ringkas penonton itu menyaksikan Osbon mendapat 31.1 markah, Boboi (29.3 markah), Saehu (22 markah) dan Syok (17.5 markah).

Sewaktu ditanya apakah yang akan digunakan pada wang hadiah kemenangan Osbon itu, Os berkata, dia akan menggunakannya bagi menambahbaik teksi miliknya selain bagi memenuhi keperluan anggota keluarganya.

“Saya bercadang mahu menggunakan duit kemenangan ini bagi menambahbaik teksi saya supaya ia kelihatan lebih solid dan menarik demi keselesaan penumpang.

“Ini kerana, saya seorang pemandu teksi dan saya akan meneruskan kerjaya itu seperti biasa.

“Saya tidak akan tukar teksi saya kerana keadaannya masih elok lagi, apatah lagi permit teksi saya hanya akan mati pada tahun 2015. Selain itu, saya akan gunakan wang kemenangan ini bagi menyara keluarga. Anak-anak pula ramai, jadi kos sara hidup agak tinggi,” jelasnya.

Biarpun tewas kepada Osbon tetapi Afdlin Shauki, 40, yang mewakili Boboi akur dengan kemenangan pesaing terdekatnya itu pada pertandingan akhir MLM yang diwakili empat pengkritik iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Chef Wan, Zainal Abidin Hassan dan Aaron Aziz.

Jelas Afdlin, dia tidak menafikan kekuatan lawak Osbon pada setiap minggu yang memberikan saingan sengit kepada Boboi, apatah lagi mereka pula adalah pelawak yang paling senior dalam MLM berbanding para peserta lain dalam pertandingan anjuran Astro Warna itu.

“Boboi bangga kerana tewas di tangan Osbon. Mereka memang layak menang. Sebagai pelakon dan pengarah, saya kagum dengan Osbon. Mungkin saya mengambil masa lagi tujuh tahun untuk menandingi bakat dan pengalaman mereka itu,” ungkapnya berterus terang.

-Petikan Utusan on9 tulisan ABD. AZIZ ITAR

Categories: Uncategorized
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: