Home > Aku @Min > Kartunis lima dekad bertemu

Kartunis lima dekad bertemu

ARKIB : 01/05/2012 (Petikan dlm Utusang)

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
DUNIA seni lukis berteraskan humor tempatan mempunyai barisan nama-nama hebat yang menjadi pemangkin kepada kemajuannya.

Baru-baru ini telah diadakan satu satu pertemuan yang pertama kali dihoskan kartunis terkenal negara, Lat.

Ia telah dihadiri oleh sejumlah besar para kartunis dan animator yang masih aktif berkarya dalam genre masing-masing.

Lebih menarik apabila pertemuan itu menyaksikan kehadiran beberapa karyawan lama yang telah berkarya sejak tahun 1960-an lagi. Antaranya Sulaiman Awang, Rizalman dan Mishar. Tidak ketinggalan penggiat awal animasi tempatan iaitu Hassan Mutalib, pelukis seperti Azman Yusof, Zainal Buang Hussien, Don serta ramai karyawan muda masa kini.

Menurut penyelaras pertemuan itu, Mazlan Abdullah atau lebih dikenali dengan nama penanya, Nayan, idea penganjuran acara itu terbit daripada kartunis Lat atau Datuk Mohamad Noor Khalid.

Sebagai seorang kartunis, Lat tidak lepas memerhatikan perkembangan industri kartun tempatan dan berusaha bagi mengumpulkan seberapa banyak kartunis yang pernah dan sedang terbabit dalam bidang itu.

“Sejak Lat berkarya pada tahun awal 1960-an, kartun tempatan terus berkembang seiring dengan peredaran masa dan perkembangan medium tersebut.

“Pada majlis itu, para karyawan dari era lima dekad bermula dari tahun 1960-an, 1970-an, 1980-an, 1990-an dan era 2000 ditemukan dalam satu sesi yang amat bermakna untuk semua yang hadir, malah menjana semangat baru bagi industri kartun Malaysia seluruhnya,” ujarnya.

Katanya, ramai kartunis muncul di sana-sini berasaskan minat dan bakat tetapi cuma sebilangan daripada mereka sahaja yang cuba menghasilkan karya yang berjaya menempatkan diri dalam kumpulan kecil karyawan ini.

Justeru katanya, menapaklah kartunis dalam rentak dan langkah seadanya, di mana mereka berkarya dalam media-media picisan dan sesekali terbit dalam paparan media-media massa arus perdana.

“Tidak kurang juga yang tercari-cari peluang di syarikat-syarikat penerbitan yang sudi menerima dan menerbitkan karya masing-masing. Sehinggakan ada yang menerima imbuhan tidak setimpal dengan nilai pemikiran, tenaga dan karya-karya yang mereka hasilkan.

“Ekoran itu, Lat tampil mengambil inisiatif menganjurkan pertemuan itu yang menurutnya telah amat lama tidak diadakan. Malah, ada di antara kartunis yang hadir tidak ditemuinya sejak berbelas-belas tahun lamanya.

“Selain itu objektif program yang diberi nama Santai Petang Bersama Lat & Kartunis Malaysia itu telah menjadi jambatan menghubungkan silaturrahim di antara karyawan dalam industri kartun tempatan, baik yang veteran mahupun yang baru,” jelasnya.

Nayan yang juga pengasas Malaysian Cartoon Parade, berjaya menyelaraskan pertemuan itu menyifatkan ia umpama pertemuan sebuah keluarga yang amat lama terpisah kerana kekangan masa dan tugas masing-masing.

Beliau amat bersyukur apabila ramai kartunis serta animator lama dan baru memberikan komitmen menghadiri pertemuan amat bermakna yang berlangsung dalam suasana meriah yang telah diadakan di Hotel Royale Bintang, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu.

Tambahnya, mungkin inisiatif serupa akan dijalankan pada masa hadapan dengan hos yang lain pula jika ia terus mendapat sokongan daripada syarikat-syarikat penerbitan kartun dan animasi tempatan.

“Aktiviti seperti itu perlu dijadikan sebagai dorongan kepada kartunis Malaysia supaya bekerja lebih keras untuk kemajuan bidang ini agar ia setanding dengan hasil karya-karya dari luar negara yang lebih lama dan maju.

“Pertemuan seumpama ini juga dapat membuka ruang dan peluang kepada para karyawan meluaskan lagi hubungan sesama mereka. Di samping itu akan menjadi titik awal kerjasama dalam pelbagai bentuk ke arah perkembangan industri kartun serta menjana pendapatan para penggiatnya dalam pelbagai cara,” katanya.

Pada masa sama, Nayan turut melahirkan rasa sedihnya apabila ramai peminat kartun yang tidak mengenali karyawan yang berusaha gigih bagi melahirkan karya-karya yang diminati ramai.

Tidak melupakan generasi baru yang bakal mengganti kreativiti masa hadapan, maka perhimpunan seperti itu diharap dapat diteruskan pada masa depan ia boleh dijadikan sebuah medan bagi menggabungkan idea-idea kartun lama dan baru yang sebenarnya saling memerlukan antara satu sama lain.

“Pada majlis itu ada yang mencadangkan supaya tarikh 11 Mac diiktiraf sebagai Hari Kartunis dan Animator Malaysia bagi menghargai peranan golongan kartunis dalam memajukan bidang seni tersebut,” tambahnya lagi.

Categories: Aku @Min Tags:
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: